20130822

'MIMBAR' merupakan Misi Pendidikan di luar negara untuk masyarakat Melayu Islam


Majma’ Budaya & Warisan Jawi, JWJ serta WarisAlam berusaha bekerjasama dengan pelbagai pihak yang sanggup merealisasikan penubuhan sekolah-sekolah yang baik tadbirnya di luar Malaysia untuk masyarakat Melayu yang tidak berpeluang mendapat pendidikan yang sempurna dalam pengajian Islam dan pengajian Melayu. Majma’ Budaya & Warisan Jawi berusaha menyusun sukatan pelajaran yang terbaik bagi pengajian ini agar generasi mendatang dari masyarakat ini kekal dalam ketuanan Melayu, berbahasa Melayu dan tulisan jawi kekal sebagai tulisan rasmi bangsa Melayu. 

“Ilmu itu pelita hidup”


Majma’ sedang berusaha menjayakan misi pendidikan ini di luar negara atas nama program ‘MIMBAR’. Moga-moga dengan usaha ini masyarakat Melayu Islam yang hidup dalam serba kekurangan dapat menikmati kesejahteraan sama seperti kita di Malaysia. Kandungan dalam program ‘MIMBAR’ meliputi pengajian Agama Islam, Pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah Melayu, Tulisan Jawi dan Aktiviti Budaya seperti Kompang, Seni Silat dan lainnya yang dapat mengembalikan semangat berbudaya Melayu dalam masyarakat Melayu di luar sempadan Malaysia.


baca seterusnya...[KLIK]


Program Ibadah Aqiqah & Korban


Pihak Majma’ Budaya dan Warisan Jawi dan WarisAlam telah mula menguruskan program Ibadah Aqiqah dan Korban di Kemboja sejak tahun 2011. Sejak dari tarikh itu, semakin ramai penyertaan dalam program ini dan semuanya terdiri dari rakyat Malaysia yang prihatin dengan keadaan serba kekurangan masyarakat Melayu di bumi ini.




Di sini masyarakat Melayu serba tidak mampu dan sudah pasti sumbangan dan bantuan dari rakyat Malaysia amat-amat disanjungi mereka. Hasil dari ibadah ini, mereka bolehlah mengadakan kenduri kendara dan merasakan masakan berlauk daging yang jarang-jarang sekali mereka nikmati.

Masyarakat di bumi Kemboja ini amat-amat memerlukan sumbangan korban dan program ibadah aqiqah dan korban di sini hanya RM250.00 satu bahagian.

Bagi yang ingin turut serta dalam program ini bolehlah hubungi 019-2202327 Ustaz Zaid / 019-2872651 Salman Farisi atau email : majmakbudayadanwarisanjawi@gmail.com

Baca seterusnya... sila [klik]


SILA ISI BORANG DAFTAR PROGRAM IBADAH AQIQAH & KORBAN DI BAWAH. 



JWJ3 - Menjejak masyarakat Melayu Riau-Lingga


PERJANJIAN London yang ditandatangani antara Inggeris dan Belanda pada 17 Mac 1824 telah memecahkan empayar Johor-Riau-Lingga hingga mengubah alam Melayu buat selama-lamanya.

Perjanjian itu meletakkan Semenanjung Malaysia dan Singapura di bawah empayar Inggeris manakala Kepulauan Riau-Lingga di bawah Belanda, sekali gus memecahkan bangsa Melayu yang tinggal sebumbung dalam empayar kesultanan itu.

Menyertai Ekspedisi Jejak Warisan Jawi III (JWJ III) di Kepulauan Riau-Lingga baru-baru ini, penulis merasakan seolah-olah pulang ke kampung halaman.
Pertama penulis menjejakkan kaki di kepulauan ini, penulis dapat merasakan ia mempunyai banyak persamaan dengan orang Melayu di Malaysia.

Majoriti penduduk di kepulauan ini didiami masyarakat Melayu. Suasana, cara hidup, bahasa, makanan dan kehidupan mereka tidak banyak beza dengan masyarakat Melayu di Malaysia. Masakan seperti asam pedas dan sambal tumis iaitu masakan yang popular di Malaysia juga cukup popular dalam kalangan orang Melayu di kepulauan ini.

Bandar Tanjungpinang dilihat bagaikan metropolis Kuala Lumpur pada awal tahun 80-an dengan deretan kedai, kesibukan kenderaan dan pergerakan orang ramai.

Bagi anggota ekspedisi, Saiful Anwar Yahaya atau lebih mesra dengan panggilan Tok Pol, melihatkan suasana di sepanjang sebatang jalan yang dipenuhi dengan kedai makan di Tanjungpinang mengingatkan beliau pada Kampung Baru, Kuala Lumpur sekitar awal tahun 80-an.

Sejarah orang Melayu

“Makanan, minuman dan orangnya semuanya serupa. Malah teringat kisah lalu makan masakan asli kampung di Kampung Baru,” katanya ketika menjamu selera di sebuah kedai makan.

Namun, kemajuan di Tanjungpinang agak ketinggalan berbanding metropolis Kuala Lumpur dan bandar raya lain di Malaysia.

Semasa dalam perjalanan dengan feri menuju ke sebuah pulau, penulis berkenalan dengan seorang penulis bebas Henry Santoso, 38, berasal dari Batam yang berketurunan Melayu dan Jawa.

Mengetahui penulis seorang wartawan berketurunan Melayu dari Malaysia, beliau tambah bersemangat bercerita tentang sejarah dan kehidupan orang Melayu di Kepulauan Riau-Lingga.

“Kita asalnya satu tetapi penjajah yang memisahkan kita. Hidup orang Melayu di Lingga ini amat banyak persamaan dengan orang Melayu di Malaysia,” katanya yang pernah beberapa kali ke Malaysia.

Menurut Henry, orang Melayu di Malaysia cukup beruntung memperoleh peluang yang lebih baik terutamanya melibatkan bidang pendidikan dan ekonomi berbanding orang Melayu di kepulauan tersebut.

“Walaupun kita dibezakan dengan negara masing-masing, jangan sesekali kita lupa bahawa kita asalnya satu. Kita perlu bersatu sebagai satu masyarakat Melayu,” tegas Santoso.

Ekspedisi diteruskan ke Pulau Benan. Ketika turun dari feri, kami disambut dengan persembahan silat, alunan kompang dan deretan bunga manggar dipegang kanak-kanak Melayu pulau ini.

Menariknya, apabila melihat cara sambutan itu sama dengan cara masyarakat Melayu di Malaysia menyambut tetamu malah bunyi alunan kompang itu amat mirip dengan alunan kompang di kampung halaman penulis di Batu Pahat, Johor.

Menurut Sahlan, 42, yang mengiringi penulis melawat sekitar kampung di Pulau Benan, masyarakat Melayu merangkumi lebih 90 peratus daripada jumlah 1,000 orang penduduk pulau, manakala selebihnya ialah orang Jawa dan kaum Cina.

“Kita memang ada belajar kompang dan silat di pulau ini, yang diwarisi turun temurun. Silat cekak, kuntau dan sendeng masih dipelajari golongan belia sebagai mengisi waktu lapang terutama pada malam hari.

“Kebanyakan daripada kami hidup dengan hasil laut sebagai nelayan. Kami juga sedang berusaha meningkatkan pelancongan di sini dan berharap bidang ini mampu meningkatkan kehidupan kami,” katanya.

Seorang wanita yang dikenali sebagai Hamidah, 49, menghidangkan air kelapa muda dicampur gula Melaka kepada anggota ekspedisi. Bila ditanya di mana beliau belajar membuat gula Melaka, Hamidah menjawab daripada moyangnya di Melaka.

“Saya dan ramai orang di pulau ini ada saudara-mara di Melaka dan Johor. Makanan tradisional orang Melaka seperti asam pedas dan manisan dibuat daripada gula Melaka memang menjadi kegemaran kami di sini.

“Ada juga antara kami yang tahu mengalun muzik ghazal dan menari tarian zapin yang amat popular di Johor,” katanya menambah lagu Gadis Melayu nyanyian Jamal Abdillah menjadi kegemaran masyarakat Melayu Pulau Benan.

Seorang penternak ikan, Mohammad Salim, 51, turut menjemput penulis dan anggota ekspedisi JWJ III untuk menjamu selera di rumahnya.

Lauk sotong masak sambal tumis dan ikan cencaru kering bakar yang dihidang bersama nasi panas walaupun agak ringkas, tetapi cukup menyelerakan.

Selesai makan, penulis dan anggota ekspedisi JWJ III sempat berbual dengan Mohammad Salim berkenaan kehidupan masyarakat Melayu di pulau ini.

“Kami di sini tidak mempunyai peluang sebanyak yang diperoleh orang Melayu di Malaysia, jadi jangan duduk menunggu untuk disuap, rebut peluang dengan sepenuhnya.


“Kaum Melayu telah memajukan Malaysia sejak dulu lagi, jadi jangan sia-siakan penat lelah nenek moyang kamu itu. Mereka lakukannya untuk faedah generasi seterusnya,” katanya. – Bernama

MERANTAS 7 NEGARA - Jejak Warisan Jawi II 2011





Jejak Warisan Jawi (JWJ) adalah sebuah projek anjuran MAJMA’ BUDAYA DAN WARISAN JAWI untuk menjelajah Rumpun Melayu Islam yang terbit hasil daripada pemikiran kritis segolongan kecil anak bangsa yang sayangkan sejarah bangsanya dan cuba melangkau kebiasaan untuk menyelusuri dan menjejaki sejarah rumpun bangsanya di luar kelompok negara bagi menjalin kembali ikatan yang dahulunya satu.

Bertujuan menjejak dan merungkai sejarah baru bangsa Melayu dan kesinambungan tinggalannya di seluruh dunia, ia juga untuk menjalin kembali hubungan silaturrahim di dalam kelompok negara yang berlainan. Ia juga satu program yang harmoni dengan persembahan kebudayaan Melayu Semenanjung dari pasukan WarisAlam kepada masyarakat Melayu di negara-negara lain. JWJ2 akan merentas 7 Negara selama 21 hari bermula dari 25hb Mei 2011 sehingga 14 Jun 2011 dengan menggunakan 10 buah kenderaan pacuan 4 roda dari pasukan BLACKWIND ADVENTURE TEAM.Selain itu ekspedisi ini turut membawa logo kempen ‘MELAWAT MALAYSIA’sebagai salah satu usaha projek ini untuk memperkenalkan produk pelancongan bagi menarik pelancong ke Malaysia.

Baca seterusnya... blog Jejak Warisan Jawi